Daripada Ayahanda: HJ SUFA’AT BIN TUMIN

PENGARAH JABATAN PELAJARAN JOHOR

Anakanda,

Dalam kehidupan yang mencabar ini, semua manusia berlumba–lumba mengejar kejayaan dan ilmulah yang menjadi taruhan. Manusia yang tidak menyertainya atau membiarkan dirinya ditinggalkan dalam perlumbaan ini adalah golongan yang gagal. Sejauh mana ketinggian ilmu seseorang maka di situlah ketinggian martabatnya. Dari asas ilmu yang tinggi dan luas maka lahirlah pemikir-pemikir, pencipta-pencipta dan golongan manusia yang membawa perubahan kepada kehidupan dan alam. Oleh yang demikian rebutlah peluang yang telah disediakan, sahutlah cabaran ini agar anakanda tidak ketinggalan.

Anakanda,

Peperiksaan SPM yang bakal anakanda hadapi merupakan salah satu daripada pengukuran prestasi anakanda setelah bertungkus-lumus berusaha dari timbunan ilmu yang anakanda telah peroleh selama beberapa tahun sebelumnya daripada guru anakanda. Janganlah anakanda merasa cemas, anggaplah peperiksaan ini merupakan nikmat yang dikurniakan oleh proses kehidupan untuk masa depan yang cemerlang. Usaha, ikhtiar, doa dan tawakal adalah senjata yang kuat dalam menghadapi ujian ini. “Sandarlah pada pegangan, jangan cemas dengan perasaan, usaha jangan ditinggalkan dan jangan puas dengan angan-angan. Yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek”.

Anakanda,

Dalam masa peperiksaan SPM yang cuma tinggal beberapa ketika ini, semangat perjuangan untuk merubah diri ke arah yang lebih baik haruslah tinggi. Lihatlah bekalan yang akan dibawa, periksa dengan teliti agar tiada yang tertinggal. Masa yang bersisa ini seharusnya diperbanyakkan latihan bersendirian atau bersama rakan, tanyalah kepada mereka yang mahir untuk memastikan bekalan yang dibawa tepat dan sahih. Latihan yang banyak akan menjadikan kita mahir dan sempurna.

Anakanda,

Perjalananmu masih panjang, didiklah diri agar sentiasa menjadi yang terbaik, didiklah diri untuk menerima dan meminta nasihat daripada ilmuan mahupun leluhur terbilang, didiklah diri agar sentiasa dahagakan ilmu, berdampinglah dengan mereka yang terserlah kerajinannya memburu kejayaan, jangan berlengah, jangan mengalah, teruskan berjuang memburu kecemerlangan . Tiada siapa yang boleh mengubah kehidupan anakanda, melainkan anakanda sendiri.

Anakanda,

Sebelum ayahanda mengundur diri, sekali lagi ayahanda ingin ingatkan bahawa tiada perkara yang tidak boleh kita kecapi selagi kita mempunyai perasaan “BOLEH” dalam kehidupan. Selagi kita mempunyai “USAHA” yang tidak “MATI” dan “BERANI GAGAL”, justeru itu, keluarlah dari kepompong kebiasaan, lakukan perkara yang luar biasa, lontarkan kemalasan, kumpulkan kerajinan dan anjakkan pemikiranmu. Buktikan anakanda memang cemerlang. Bersama kita berkongsi kejayaan untuk negeri Johor tercinta. JOHOR TOP 5.

SELAMATMENDUDUKI PEPERIKSAAN, AYAHANDA SENTIASA BERSAMAMU.

0 suara:

Post a Comment

Alvin and the Chipmunks: The Squeakquel